Suasana Kuasai Kehidupan Kita, Atau Kita Pengaruhi Suasana

by - December 28, 2013


#inspirasi#ShahrinaShaharin


Saya kecewa bila "bersua" dengan pakar IT yang tidak menggunakan kelebihan ilmu mereka untuk membantu orang lain. Lebih saya kecewa bila mereka menyelar orang yang cuba membantu dengan memberi solusi. Maaf status ini tiada hashtag sebab saya tidak mahu ia jadi statement negatif dalam carian. Hanya sekadar luahan perasaan. 


Sejak saya ikuti kelas SJI & IJI saya terus merubah penulisan saya di status ini dengan perkongsian tipsIT. Sejak hari itu friends list saya bertambah dengan pesat. Dari hanya beberapa rakan kini pada hari ini sudah [2,056] friends dan beberapa follower. Semuanya berkemungkinan ingin menyedut ilmu IT yang bakal saya kongsi.

Dari yang hanya tahu Blogger ada yang dah buka Wordpress Basic. Dari yang tak pernah pakai hashtag, dah ada beberapa orang mula aplikasikan hashtag. Dari yang tidak tahu tentang wujudnya Google Form dalam Drive dan ada beberapa yang mula gunakannya dalam Facebook dan apa jua form lain.



Page saya juga ada 407 individual dan unik "LIKES" tanpa saya gunakan khidmat pancing LIKES. Dari blog yang baru saya bina dengan 0 subscriber, dah ada 642 subscriber via email. Ini menunjukkan ada ramai yang dahagakan ilmu IT. Dan tidak ada sesen pun saya cas jika mereka ikuti dan aplikasi perkongsian ilmu yang saya beri.

Tapi saya sedih ada pakar IT di alam maya ini yang ada ilmu IT malah ada kepakaran sekuriti internet, tapi menyelar usaha orang lain untuk membantu orang lain tambah ekonomi keluarga secara sambilan di internet.

Blog adalah FREE, email juga FREE. Nak hantar email pun tak pernah email provider cas 1sen per email. Kenapa mereka tidak sama-sama berkongsi ilmu level basic kepada yang memerlukan? Bantu lebih ramai mampu buat online presence? Kita buka FB akaun, Twitter akaun, Instagram akaun secara FREE aje.

Ingat ye yang bekerja pun berkemungkinan terima VSS apatah lagi mereka yang bergaji below RM1k. Saya lebih dari faham situasi mereka yang punya gaji kecil dari RM1k. Allah telah mengaturkan perjalanan hidup saya sedemikian rupa agar saya merasa perasaan empati gologan pekerja yang peringkat bawahan.

Saya pernah menerima gaji RM 400 kasar sebagai pekerja KFC. Dan tugas saya pada waktu itu selain penyediaan makanan saya dan rakan saya bergilir mop lantai, cuci toilet dan buang sampah. Saya juga pernah menjadi sales girl di sebuah kedai tudung di Jalan TAR bernama Turkish Store dan solat 2-3 kali sehari di bilik stor penyimpanan beg, baju dan tudung.

Selepas habis belajar sementara menunggu SPM saya pernah bekerja sementara sebagai operator pengeluaran. Walaupun orang lain suruh kami tipu SPM untuk mencari kerja operator, saya tidak berbuat demikian. Begitu juga rakan saya. Saya berterus terang memberi Sijil PMR dan SPM kami sebab kami bisa kantoi kerana cara tutur kami tentunya lain dari orang lain. Di sebab kejujuran kami, kilang meletakkan tanggungjawab berbeza dari orang lain. Walaupun gaji kami serupa.

Saya juga pernah bekerja sebagai pembantu teknik di Kolej yang jauh dari pekan. Boleh dikatakan 30 minit dari Pekan berhampiran. Saya tak tahu bagaimana perkembangan Pasir Panjang, N9 kini setelah hampir 20 tahun berlalu. Tapi dulu nak dapatkan bas pun susah disana. Dengan gaji RM800 kasar.

Selepas itu saya meningkat sedikit, dengan gaji kasar RM1200 kasar dan bersih jadi bawah RM1k. Lebih sedih lagi ketika itu dah lah gaji dipotong untuk KWSP, tapi tidak pula dimasukkan oleh majikan. Bukan sahaja saya sukar untuk berhenti kerja, malah notis berhenti kena disertai dengan pembayaran 6 bulan notis. Makanya, saya terpaksa membayar RM1.2k x 6 untuk bertukar kerja dari tutor kolej untuk berhijrah kepada Embedded Software Engineer.

Walaupun ramai yang tidak membayar. Saya satu-satunya pekerja yang membayar amaun itu kepada kolej. Walaupun dia tetap tak masukkan duit KWSP saya. Saya tulis surat rayuan untuk pengurangan dengan kira-kira penolakan RM1.2x6 - (nilai KWSP tertunggak) supaya nilai bayaran di rendahkan tapi ditolak oleh pihak kolej. Pembantu tadbir yang juga merangkap akauntan kolej terpaksa menyampaikan amanah CEO kolej ketika itu. Jawapan dia. "KWSP adalah tanggungjawab kolej kepada kerajaan. Itu bidang lain, tapi notis perjanjian 6 bulan ini adalah antara awak dengan kolej".

Makanya saya menunggu 4 bulan sehingga tamat peperiksaan akhir anak murid saya yang kebanyakannya datang dari golongan anak-anak FELDA. Mereka ambil Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Sijil SKM dalam bidang yang hampir serupa. Saya tunggu sampai mereka mendapat keputusan periksa sebelum berhijrah ke pekerjaan baru. Pada waktu yang sama syarikat baru dah memanggil-manggil untuk saya mulakan tugasan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai tutor, masa yang sama saya juga cuba lanjutkan pengajian. Dengan anak kecil yang baru berusia kurang 1 tahun, saya berulang setiap malam sabtu dan Ahad untuk ke UKM menuntut ilmu. Anak kecik menyusu penuh susu ibu untuk penjimatan. Maknya pula makan roti canai sekeping pagi, sekeping tengahari. Makan malam pula nasi dan telur berkicap. Memang selim-melim lah saya ketika itu. 

Kalau nak dilihat dari sudut persekitaran semuanya menekan dan negatif. Tapi saya terus melangkah, dengan harapan anak kecil ini bisa hidup selesa suatu hari nanti. Sejak itu saya terus bertungkus-lumus sebagai engineer dengan gaji lebih baik.

Tapi demi membolehkan saya belajar, saya masih ikat perut. No lunch masa tengahari. Mujur ada rakan-rakan baik hati berkongsi bekal dengan saya. Dan saya juga berbekal seadanya. Dengan yuran tertinggi nursery RM500-RM800 sebulan pada waktu peperiksaan. Masa inilah saya terjebak dengan jualan blouse online di forum.

So perlukah saya menyalahkan kerajaan kerana Kolej yang zalim? Atau perlukah saya berhenti belajar untuk hidup dengan banyak waktu senggang.

TIDAK!

Saya memilih untuk mengendong anak saya kemana saja saya pergi sebagai langkah merapatkan hubungan kami berdua. Saya kendong dia waktu membeli-belah, saya kendong dia waktu turun naik tangga walaupun masa tu dia sudah 3-4 tahun dan bisa berjalan. Malah adakalanya saya kendong dia dibelakang saya masa berjogging dan berbaby sling waktu bersolat.

Di situlah datangnya kekuatan fizikal mengharungi semuanya, ia bermula dengan hati yang bulat dengan nekad untuk melihat perubahan hidup. Walaupun ketika itu ibu tidak dapat menjaga anak saya kerana dia kurang sihat, saya tidak berputus asa. Jadi kerana itu saya sudi berkongsi ilmu dengan semua tentang ilmu berniaga di alam maya. Kerana adanya itulah saya berupaya meneruskan perjalanan hidup bersama anak tersayang.

Dulu Seminar Jutawan ni belum wujud lagi. Kalau ada tentunya hidup saya sudah lebih cepat berubah. Tapi ada hikmahnya perjalanan hidup saya ini. Jika saya tak lalui semua ini mungkin tiadalah status #tipsIT dari #ShahrinaShaharin pada ketika ini. Mungkin saya juga seperti programmer lain yang enak berkerusi di dalam bilik hawa dingin tanpa menyedari ramai yang memerlukan ilmu IT tahap basic untuk membantu mereka memulakan perniagaan sambilan online.

Sekian, luahan kecil dari saya tentang isu harga naik. Kerana dari dulu pada saya harga barang tidak pernah berubah kerana saya yang kurang berkemampuan. Tapi ketidak mampuan itulah yang membentuk peribadi saya kini.

Jika ada yang terasa maafkan saya. Coretan ini hanya sebagai coretan inspirasi bagi yang terbaca. Moga ia membantu anda melihat sudut yang cuba di inspirasikan oleh tokoh kesayangan kita. Dunia dalaman, tentukan dunia luaran. Cara kita berfikir, rasa dan bertindak menentukan hasil kehidupan kita. Jika kita melihat ada orang yang lebih susah dari kita bantulah mereka sedaya yang termampu oleh kita. InsyaaAllah akan terbuka pintu rezeki bagi kita.

You May Also Like

0 comments