Tanah Runtuh, Abah dan Air

by - August 09, 2018

 Mata Rina berkaca, hampir setiap kali menonton iklan kesedaran tanah runtuh. Sudah lama Rina fikirkan, perlukah Rina menulis tentang ini. Hari ni, Rina terdetik untuk akhirnya menulis juga.



Laptop dikeluarkan, dan Rina cuba mencoret tajuk dalam bahasa Inggeris. 

Tik, tik, tik... bunyi keyboard. Tulis... padam. Tulis... padam. 

Dua kali Rina cuba menulis tajuk dalam bahasa English. Dua kali juga Rina padamkan tajuknya. Susah Rina nak selami feel menulis dalam bahasa English kali ini. Akhirnya, Rina settle untuk memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan.

Rina banyak kali terlintas dengan iklan "Ambil Berat Setiap Perkara, Biarpun Kecil! - Iklan Keselamatan Cerun JKR 2016". Setiap kali lihat iklan TV tu akan mengingatkan Rina pada Abah.



Hati mula sebak, mata berkaca. Rina mencari petikan video 'amaran tanah runtuh JKR' di YouTube. Sekali lagi Rina menontonnya. Akhirnya, air mata minitis juga. Rina buka profile peribadi Rina di Facebook. Rina selak semua gambar lama, mencari keratan akhbar abah di Berita Harian. 

Rina tatap wajah abah lama dalam petikan akhbar itu. Songkok... kaca mata.. baju putih.. Mata turun ke bait-bait berita. 'Sweet water' kata abah. Rambut sedikit beruban, kemeja putih dan misai putih menjadi trademark abah sejak balik dari England  dulu. Rina melihat gambar Dato Rahim Razali. Imejnya dalam iklan itu saling tak tumpah seperti abah. Lagi serupa jika dipakaikan songkok.



Abah memang pakar tanah runtuh. Kajian sumber air juga adalah salah satu bidang abah. Rina tak pasti bila iklan tanah runtuh itu dirakam, dan kenapa Dato' Rahim Razali di pilih. Walaupun tidak disengajakan, setiap kali melihat rakaman video JKR itu, ingatan Rina terimbau  kembali pada arwah abah.

Keratan akhbar di atas bukanlah kali pertama abah keluar di surat khabar. Tetapi abah tidak pernah maklumkan pada kami. Sedar sahaja, sepupu kami yang beritahu. "Ita, Nyah besar masuk surat khabar!" Seronok mereka bagitahu kami. Bergegas kami adik-beradik mencari surat khabar. Ita scan gambar keratan akhbar "Sumber air tanah tak mudah tercemar" untuk kami adik beradik kongsi bersama.



Untuk menulis blog kali ini, Rina meng-google gambar Dato Rahim Razali. Rina tenung lama-lama gambar Dato. Tak lah sama sangat dengan arwah abah. Tapi pada usia dia melakonkan watak 'atok', watak dan imejnya saling tak tumpah seperti abah. Rina termenung sesekali, menatap wajah abah. Air mata gugur lagi. Sayangnya abah pada kami.



Detik-detik ketika kecil terimbau di depan mata. Balik dari berjalan-jalan Rina suka pura-pura tidur dalam kereta, sebab nak abah dukung masuk dari kereta ke dalam rumah. Rasanya bukan Rina seorang, Ita juga sama. Saja pejam mata rapat-rapat bila dah sampai di halaman rumah. Rasanya, kalau abah tahu pun kami pura-pura tidur... Abah tetap akan angkat kami masuk dalam rumah. Seorang, demi seorang. Jaranglah abah nak kejutkan kami suruh kami jalan sendiri.

Sedangkan sebenarnya, boleh sajakan? Hehe... Tapi tak, abah tetap akan dukung masuk. Tidak dia mengeluh kata dia penat bawa kereta, atau penat bawa kami berjalan. Tapi dia gembira, dapat jamu kami makan malam di sana.

Abah suka bawa kami makan malam di sebuah tempat makan di Kampung Pandan. Tapi di mana Rina tak tahu. Sebab masa tu Rina masih terlalu kecil untuk tahu bertanya secara tepat alamat tempat makan itu. Yang Rina ingat hanya "Kampung Pandan."

Terlalu banyak kenangan masa kecil, yang terlintas. Semakin lama Rina tatap gambar-gambar kenangan abah. Makin sebak terasa. Rina ni anak abah agaknya. Kalau Rina merajuk pun, abah mesti akan cari balik. Abah call atau abah bertanya pada abang dan adik-adik. 

"Kaknyah, okay?" 
"Kaknyah buat apa?"

Rina mesti akan baik dan balik jumpa abah. Abah ada softspot bila dia fikir tentang anak-anak dia. Bukan Rina saja. Kita semua pun begitukan. Al-Fatihah buat abah.

'Tanah runtuh, air dan abah'. Setiap kali melihat iklan ni, Rina pasti teringatkan abah.


You May Also Like

0 comments